Pengajian al-Quran : Hukum Menutup Aurat



Maksudnya: 

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah SWT amat mendalam pengetahuan tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan yang Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah SWT wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur Ayat 30-31)

Sebab Nuzul Ayat

Ayat di atas diturunkan bertepatan dengan kisah Asma' Binti Abu Bakar RA sewaktu beliau menemui Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang nipis, lantas Baginda SAW bersabda yang bermaksud: " Wahai Asma'! sesungguhnya perempuan yang telah datang haid, tidaklah boleh dilihat kecuali ini sahaja". Rasulullah SAW Mengisyaratkan kepada muka dan tangan.

Intisari Ayat

Allah SWT mewajibkan kepada orang Islam lelaki dan perempuan supaya memelihara aurat dan mengawal pandangan daripada melihat perkara-perkara yang tidak diharuskan bertujuan menjaga kehormatan diri masing-masing. Perempuan Islam tidak dibenarkan menunjuk-nunjuk perhiasan kepada lelaki ajnabi.

Pengertian Aurat

Aurat dari segi bahasa ialah sesuatu yang mengaibkan. Dari segi istilah pula ia merupakan bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan bukan mahram atau ajnabi.

                                     
                                           Contoh pakaian yang sopan dan menutup aurat

Hukum Menutup Aurat 

Menutup aurat hukumnya adalah wajib bagi lelaki dan perempuan untuk menjaga kehormatan diri.

Batas-Batas Aurat

Aurat lelaki ialah dari pusat hingga ke lutut. Sementara aurat perempuan pula ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Rumusan batas aurat adalah seperti berikut:

Aurat lelaki

  • dengan perempuan mahram: di antara pusat dan lutut
  •  dengan perempuan bukan mahram: di antara pusat dan lutut
  • dengan perempuan bukan Islam: di antara pusat dan lutut

Aurat perempuan

  • dengan lelaki mahram: di antara pusat dan lutut
  • dengan lelaki bukan mahram: seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan
  • dengan lelaki dan perempuan bukan Islam: seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan


Sebab Diwajibkan Menutup Aurat

  1. Menjaga dan memelihara kehormatan, kesopanan dan maruah diri.
  2. Menghindarkan diri daripada terjerumus ke arah perbuatan maksiat.
  3. Membezakan keperibadian orang Islam dengan orang bukan Islam.
  4. Menggambarkan umat Islam yang patuh dan taat kepada perintah Allah SWT dan amanahNya.
Hikmah Diwajibkan Menutup Aurat

  1. Memuliakan manusia sebagai makhluk yang paling istimewa.
  2. Membentuk diri manusia supaya menjadi insan yang beradab.
  3. Dapat mengelakkan diri daripada sebarang fitnah.
  4. Melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia dan patuh kepada syariat Allah SWT.

Pengajaran Ayat

  1. Wajib bagi setiap muslim menutup aurat.
  2. Berhias hanya untuk suami, isteri dan mahram sahaja.
  3. Orang lelaki dan perempuan yang mengawal penglihatan daripada perkara haram adalah orang yang mendapat kemenangan.

Comments

Popular posts from this blog

Objektif Penubuhan Blog